InstaForex

Tuesday, April 12, 2016

Mitos China Vs Mitos Pribumi Nusantara

mitos

Mitos China Vs Mitos Pribumi Nusantara

Hari ini update mengenai Mitos China berbanding mitos pribumi nusantara satu masa dulu

Maksud Mitos : mitos atau mite meadalah cerita prosa rakyat yang menceritakan kisah berlatar masa lampau, mengandung penafsiran tentang alam semesta dan keberadaan makhluk di dalamnya, serta dianggap benar-benar terjadi oleh yang empunya cerita atau penganutnya.

Mitos Kewujudan Alam Semesta

Di China, dipercayai bahawa dunia pada asalnya adalah berbentuk telur. Di dalam telur tersebut hanyalah segala campur-campuran dan kekaburan. Seorang tokoh yang bernama Pan-gu telah dilahirkan di antaranya. Pan-gu telah memecahkan kerangka telur mengakibatkan bahagian kerangka atas berkembang menjadi langit dan bahagian kerangka bawah telah menjadi bumi. Campuran yang terang dan ringan di dalam telur telah berkembang menjadi udara dan awam, manakala campuran yang berat jatuh ke bawah menjadi tanah. Pecahan-pecahan kerangka telur yang tercampur dengan campuran berat bertukar menjadi batu-batuan, manakala pecahan yang tercampur dengan campuran ringan bertukar menjadi bintang. Dua pecahan kerangkan telur yang besar pula bertukar menjadi matahari dan bulan. Sejak itu, terwujudnya langit dan bumi, pagi dan malam. Selepas Pan-gu mati, badannya bertukar menjadi gunung Kunlun dan rohnya menjadi dewa petir. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990:1)

Terdapat juga cerita yang mengatakan bahawa selepas Pan-gu mati, matanya bertukar menjadi matahari dan bulan; rambut dan jangutnya bertukar menjadi bintang; nafas dari mulutnya menjadi angin dan awan; bunyinya menjadi petir, darahnya menjadi sungai dan sebagainya. Roh dan semangat Pan-gu pula melahirkan manusia serta segala haiwan, burung dan serangga di dunia. Dengan itu, maka wujudnya dunia sekarang. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990: 8-10)

Sekiranya ditinjau dari pandangan orang asli atau penduduk asli di kepulauan Nusantara, kita dapat meneliti sedikit sebanyak tentang asas kosmologi Tamadun Nusantara. Misalya menerusi mitos orang Iban, mereka percaya dunia dan manusia sekarang
adalah dicipta oleh dua ekor burung dewa yang bernama Ara dan Irik. Pada masa dahulu, berlaku kebanjiran yang besar di alam dunia, Ara dan Irik telah mengeluarkan dua bentuk pepejal telur dari kebanjiran tersebut dan menukarkan mereka kepada langit dan tanah. Ara dan Irk kemudiannya menciptakan gunung,-ganang, sawah padi, sungai dan tanah pamah. (Ling Ching Ching, 2005: 117-118)

Selain daripada mitos tersebut di atas, terdapat versi lain yang popular di kalangan orang Iban. Orang Iban juga percayai bahawa dunia ini dicipta oleh Raja Entala dan isterinya. Mereka menggunakan kotoran badan mereka untuk menciptakan langit dan bumi. Disebabkan bumi lebih besar daripada langit, Raja Entala terpaksa memampatnya menyesuaikan langit. Akibatnya, wujudlah gunung, bukit, lembah, sungai dan pamah. Kemudian tertumbuhnya paku pakis, pokok, bunga dan rumput. (Ling Ching Ching, 2005:118)
Bagi orang semai pula, mereka percaya bahawa dunia ini dicipta oleh Tak Pedn dan Enku. Dunia terdiri daripada tujuh lapisan bumi dan tujuh lapisan langit yang masing-masing ditinggal oleh mahluk sakti yang baik dan jahat.

Begitu juga di Indonesia, misalnya di daerah Batak Toba terdapat mitos yang mengisahkan penciptaan bumi, matahari bulan dan manusia oleh Raja Odap-Odap dan Boru Deak Parujar. Di daerah Sikka pula terdapat mitos yang mengkaitkan perkahwinan Lero Wulang dan Ni ang Tana dengan kelahiran dunia kini. (Abdul Rahman Abdullah, 1999: 12-13).

Mitos Kewujudan Manusia

Selain memberi penjelasan terhadap punca kewujudan alam semesta serta fenomena alam semulajadi, mitos tamadun Cina turut membekalkan penjelasan terhadap kewujudan manusia di dunia. Terdapat banyak mitos yang mencerita tentang kewujudan manusia. Kandungan mitos tersebut juga adalah berbeza-beza mengikut bangsa masing-masing.

Namun di antaranya, mitos yang paling popular ditemurunkan adalah mitos N wa mencipta manusia. N wa dikatakan ialah seorang dewi berbadan ular tetapi berkepala manusia. Selepas Pan-gu mencipta dunia, N wa merasakan masih terdapat kekurangan di dalam dunia tersebut. Oleh itu, N wa menggunakan tanah liat dari Sungai Kuning untuk mencipta patung manusia. Dengan bantuan kuasa saktinya, N wa berjaya mengibaskan mereka kepada manusia yang hidup. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990: 30, 126-130; Wikipedia, 2009a, 2009b)

Merujuk kepada contoh mitos orang Iban, terdapat beberapa versi tentang kewujudan manusia. orang Iban percaya bahawa burung dewa Ara dan Irik telah mencipta dua orang manusia (lelaki dan perempuan) daripada tanah liat. Oleh itu, kedua-dua orang manusia tersebut ialah nenek moyang manusia. Selain itu, juga dipercayai bahawa manusia adalah dicipta oleh Raja Entala dan isterinya. Selepas mencipta dunia, Raja Entala dan isterinya ingin mencipta manusia supaya menguasai dunia tersebut, maka mereka menggunakan pokok pisang sebagai bentuk manusia, dan bendalir pokok pala yang berwarna merah sebagai darah manusia. (Ling Ching Ching, 2005: 118)

Kaum Dayak pula percaya bahawa nenek moyang manusia wujud daripada mulut burung enggang. Burung enggang adalah jelmaan dewa Mahadallah dan isterinya dewi Putir yang dipercaya menciptakan dunia sekarang. (Ling Ching Ching, 2005: 119-120)
Selain itu, Bagi orang Dusun, mereka percayai bahawa manusia adalah dicipta oleh inaringan dan Munsumundok. (Yap Beng Liang, 1985: 79)



Namun begitu yang mitos hanya mitos ( dongeng ),jangan pula kita percaya bulat bulat ini kerana kita mempunyai agama yang masing masing kita anuti,oleh itu percayalah kepada Tuhan

No comments: